Category Archives: cerpen

cerpen : TENGKOLOK MENYEMBAH TANAH


BERITA yang dipaparkan media elektronik seperti biasa akan mengalir deras, membanjirkan khabar di seluruh negara. Berita yang diulas tambah dengan momokan metafora dan visual kadang-kadang boleh menjulang seseorang ke mercu dunia dan adakalanya menjatuhkan ke lembah hina. Masyarakat pula seringkali mendahului Tuhan dalam menjatuhkan hukuman syurga atau neraka.

Dia tersenyum simpul. Hatinya berbunga-bunga melihat wajah sendiri di kaca televisyen. Berasakan dia patut dan layak berada di pentas itu. Dia Yang Berhormat Dato’ Fazhri, orang penting dalam negara. Orang mulia yang banyak berjasa dan terpilih di kalangan umat manusia.

Sebab itulah apabila Halim berlari-lari anak datang mengadu tentang orang tua yang baru dua bulan diambil bekerja itu, dia tidak berapa ambil pusing. Susuk tua itu khabarnya rebah di tepi kolam renang villa agamnya, nyaris tercebur ke dalam air setinggi dua meter itu. Koma.

“Huh, ada-ada saja. Panggil doktor ke mari.” Begitu responnya mudah. Lelaki itu bukan siapa-siapa padanya. Kantanya kembali menerobos skrin tadi. Sebentar lagi berita pelancaran Simposium Ketuanan Melayu akan tersiar. Sekali lagi untuk malam ini raut segaknya akan mendominasi ruang tatap rakyat Malaysia.

“Takkan Melayu hilang di dunia. Kita rumpun Melayu rumpun merdeka. Bumi kita makmur sejahtera kerana kebijaksanaan kita semua!” Kata-katanya termuntah berlahar api.

“Hidup Melayu!” Respon peserta simposium membuat matanya bersinar galak.

“Hidup Dato Fazhri!” Sinar matanya tambah galak.

Ripuh dunianya ripuh. Semua orang tahu perjuangan sucinya, memastikan Melayu di millennium baru terus berdaulat dan terhormat. Misi dan visinya tidak pernah dibantah sesiapa lantaran signifikan ketuanan bangsanya cukup utuh di negara ini.

“Dato’, doktor sudah sampai, Pak Ahmad sedang dirawat.”

Dato’ Fazhri berkalih memandang Halim. Pemandunyalah yang menemui rijal tua itu berteduh menghilang lelah kelana di masjid, membawanya pulang kalau-kalau dapat mengisi jawatan tukang kebun villa agam yang kebetulan kosong.

Seterusnya dia tidak berapa peduli lagi pada lelaki itu. Yang penting halaman villanya terpelihara rapi. Bukan setakat bersih dan kemas yang dia mahu. Tetapi mesti juga menawan. Mahligai dato’ tidak boleh ala kadar sahaja. Mesti gah ala palace. Halamannya tidak boleh seadanya. Mesti saujana terindah menzahirkan keagungan pemiliknya. Biar semua orang tahu siapa dirinya.

Dalam diam dia akui, Ahmad telah melunasi tugas sebagus yang dikehendaki. Selebihnya, dia tidak banyak menyelidik lantaran kepentingannya sudah terpenuhi. Seperti mana hubungannya dengan pekerja-pekerja lain, dia lebih selesa untuk tidak menyusur akar.

Di tengah bukat malam, sambil mengimbas kembali perjuangan politiknya yang panjang, dia terkhayal ke kurun 15. Ya, tentulah dia persis Hang Tuah, pahlawan Melayu yang taat berkhidmat kebanggaan rakyat. Cuma bezanya Hang Tuah mahir bersilat senjata, dia pula hanya menjadi penaung kepada persatuan-persatuan silat kebangsaaan, selain tugasnya melindungi semua warisan, seni, kebudayaan dan identiti lain masyarakat Melayu. Sejak mengisi jawatan utama negara, sudah terlalu banyak usaha dan ikhtiarnya untuk memartabatkan apa sahaja yang bernama Melayu. Dia pencinta bangsa, perindu warisan nenek moyang, juga pembela hak dan keistimewaan yang diwarisi turun temurun.

Sebab itulah dia panas punggung ketika ada pihak yang mengecam DEB, mula menyinga bila ada yang meminggirkan titah sultan dan dia tidak sekali-kali akan berdiam diri apabila majlis adat istiadat diraja tidak dihormati atau dipulaukan. Semua itu mesti diajar! Biar dunia tahu tinggi atau rendahnya langit Melayu.

Dia dan Hang Tuah sama-sama berbakti. Sama-sama wira Melayu yang masing-masing setia. Pantang orang menghina atau mencabar Melayu, dialah orang pertama bangkit menentang. Jebat mana yang tidak disanggahnya. Akulah Hang Tuah moden kesayangan sultan. Begitu gah dirinya di hati sendiri.

Sedang tenggelam dalam ujub diri, tiba-tiba mulutnya dikatup dengan sebelah tangan sasa. Dia yang terkejut metah cuba melawan namun langkahnya nyata sumbang. Bayangan hulubalang Melaka tadi lenyap sekelip mata.

Dengan tangan kaki terikat dan leher disua belati, dia kemengahan.

“Mana dokumen tu?” Nyata musuh politiknya sudah menceroboh ke tahap paling maksimum. Bila-bila masa sahaja dia boleh berpindah ke alam lain.

Bukk! Belum sempat merespon, perutnya menerima tendangan percuma. Pandangan Dato Fazhri berbinar. Dalam cahaya rembulan, matanya dapat menangkap tiga susuk yang menyarung baju dan topeng hitam berserenjang tegap di hadapannya. Kemudian tiga susuk itu tersalin menjadi enam sebelum menjadi tiga kembali.

“A… Ada… Ada di….”

“Assalamualaikum”. Satu suara tenang membuatkan semua mata terkalih ke satu arah.

“Siapa kau mengganggu kerja kami?”

“Bebaskan Tuan saya.”

“Arghhh!” Ketiga-tiga peneceroboh berteriak dan menyerang serentak sebelum sempat Ahmad memasang kekuda. Namun semuanya dapat dielak dengan mudah tanpa sekelumit pun rasa mengah.

Beberapa kali menepis, Ahmad akhirnya membalas serangan. Hanya dengan satu jurus angin, ketiga-tiga penceroboh terpelanting tinggi. Jatuh tidak bergerak.

“Di mana pakcik belajar silat ni?” Mulut Dato’ Fazhri terlopong dengan mata terbuntang.

“Bukankah bangsa Melayu adalah bangsa pahlawan?” Tenang saja suara itu.

Menyindir akukah? Gumamnya dalam hati. Sebetulnya dia yang tersindir sendiri.

“Apapun, terima kasih kerana menyelamatkan saya. Hujung bulan nanti jangan lupa ambil bonus.” Dia mengurut-ngurut lengan, menyisih lenguh yang belum pergi setelah ikatan dilerai.

“Tak apalah Tuan, saya menolong dengan ikhlas. Sudah tiba masanya saya pergi. Saya mohon maaf. Halalkanlah makan dan minum dan terima kasih atas semua budi Tuan.”

“Hah, kenapa perlu pergi?”

“Semakin lama saya di sini, semakin kuat rasa bersalah mencengkam jiwa. Kini perlu pulang kerana tanah air memerlukan saya sekarang. Tadi, anak lelaki saya sudah memaklumkan hal ini.”

Anak lelaki? Siapa dan bila? SMS? Atau di bawah sedar siang tadi?

Dato’ Fazhri mengamati susuk dan raut renta Ahmad. Datang menumpang di bumi orang, hanya menggalas sebungkus pakaian yang diikat dengan kain lepas. Sekarang dia perlu pulang. Semasa pertama kali mengenali Ahmad, dia dimaklumkan pembantu peribadi bahawa lelaki tua itu berdarah Pattani.

“Adakah pakcik turut terlibat dengan gerakan militan Selatan Thai yang menghuru-harakan negara Siam selama ini?” Dato’ Fahzri meluah sangsi. Kedudukan yang dimiliki seringkali membuat dia lupa patah kata yang sepatutnya dipilih.

Ahmad terkesima. Hati tenangnya tersentuh. Ada sembilu halus menusuk pedih. Perlahan wajah dikalih mengadap purnama yang sedang berduka. “Rupanya kami bukan sahaja dipandang hina oleh musuh Islam, tapi juga oleh mereka yang seagama malah sebangsa dengan kami.”

“Apa maksud pakcik?” Terimbas kembali di benaknya terhadap semua liputan yang didengar tentang wilayah bergolak itu. Berita yang dimaklumi seantero dunia, sejauh Washington DC. Masakan dia Dato’ Fahzri tidak tahu menahu?

“Kami bukan pemberontak terhadap kerajaan, tetapi penentang kepada penjajahan. Memang Pattani mempunyai sejarah perang dengan Thailand yang tidak pernah berakhir.”

“Ya aku tahu. Seawal abad ke 17 lagi Siam menceroboh ke geografi suci itu. Lambat laun penaklukan menjadi rasmi pada 1902 dan Perjanjian Bangkok 1909 dengan pihak British mengakhiri segala-galanya. Kedaulatan Thailand ke atas Pattani telah diiktiraf bukan?”

“Yang mengiktiraf itu tidak lain melainkan musuh yang mengatur semuanya untuk melunasi dendam. Barat yang cemburu dengan kejayaan rantau ini menjalankan perniagaan dengan Arab, bimbang kalau-kalau bangsa Melayu, bangsa yang teramai di Kepulauan Nusantara ini menyalin kegemilangan Arab dengan sebab Islam.”

Dato’ Fazhri tergamam. Lelaki tua yang pernah dipandang rendah itu tidak disangka akan menyangkal hujahnya dengan petah sekali. “Bagiku kepelbagaian budaya dan etnik adalah kekuatan, bukan liabiliti”. Suaranya berbaur angkuh dengan ego melangit.

Mata Ahmad tiba-tiba berkaca. Nyilu hatinya nyilu. Air mata bergenang bukan kerana lemah tetapi hatinya tersangat lembut, cukup sensitif bila fikirannya memutarkan kembali tayangan duka umat Islam Pattani. Belum pun sembuh luka Masjid Krisek dan hirisan Tak Bai masih berdarah, belati dan peluru askar Thailand terus-terusan menyentuh jasad kaum muslimin di atas kesalahan yang tidak pernah mereka lakukan.

“Kekuatan itu hanya untuk mereka sedangkan kami diharamkan hak dan identitinya untuk hidup bebas sabagai satu bangsa. Kedaulatan bahasa, sastera, sejarah, kesultanan Melayu bahkan tulisan jawi yang cemerlang sejak beratus tahun dahulu kini menunggu masa untuk padam.”

Muka Yang Berhormat itu berkerut seribu apabila nama Melayu disentuh.

“Kami terpinggir di bumi sendiri, hidup dalam ketakutan. Ke mana saja bergerak perlu bersoal jawab. Apabila keluar rumah, belum tentu pulang dengan selamat.”

“Mungkin cara kamu bertindak tidak betul.” Dato’ Fazhri menembak tanpa arah yang pasti. Wajah tenang Ahmad hanya tersenyum.

“Perjuangan kami tiada bezanya dengan tokoh yang kalian agungkan. Tindakan Dato’ Bahaman, Mat Salleh, Tok Janggut dan Mat Kilau semuanya berasas. Adakah kamu menganggap mereka pengganas radikal?”

“Ya sememangnya Malaysia mengutuk kezaliman terhadap mangsa yang tidak bersalah. Kami turut peka dengan masalah kalian”. Suara Dato’ Fazhri kedengaran memujuk. Sedikit sebanyak dia tetap berasa terpukul.

“Tapi kami cukup jengkel mendengar kenyataan mesra pemimpinmu bersama Samak tempohari, bahawa masalah ini hanyalah sekadar krisis dalam negara. Seolah-olah tiada kaitannya dengan umat Islam sejagat.”

Lidah Dato’ Fazhri tepaku kelu dipahat buntu.

“Air mata kami tiada bezanya dengan air mata rakyat Palestin dan luka kami sama merahnya dengan darah Baghdad. Malah kita ini lebih akrab bersaudara kerana bukan saja seagama tetapi juga sebangsa. Ini adalah penghapusan etnik Melayu!”

Melayu? Ruang fakir Dato’ Fazhri menerobos jauh, melompat-lompat jatuh tidak bertempat. Teringat kembali kembara juangnya demi anak Melayu. Segala slogan bernas, motto bervisi, teks-teks ucapan berapi, serta tulisan beraninya yang cuba mengangkat ketuanan Melayu, Bahasa Melayu, sastera Melayu, orang Melayu, identiti Melayu sehinggalah kepada sejarah Melayu yang berabad ditinggalkan. Bahkan kalimah dato’ yang bertempel dengan namanya itu juga hasil kerja kerasnya membela Melayu.

“Tengkolok raja Melayu telah menyembah tanah!” Kata-kata keramat Ahmad memancung lamunan sekaligus menusup masuk jauh ke dasar hati.

“Angkara Barat, kita adik beradik terpisah”. Ahmad berkias. Dato’ Fazhri masih terpempan. Naluri pejuangnya tersentuh.

“Jadi kamu menyalahkan kesilapan sejarah? Atau cemburu dengan kemajuan Malaysia?” Entah kenapa dia seperti terlalu keras untuk mengalah.

Geleng. “Kami tidak kesal dilahirkan di Pattani. Malah amat bersyukur dan merasa bertuah kerana Islam di sana sangat subur menaungi kehidupan. Ujian ini menjadikan jiwa kami kuat meskipun mata zahir menafsirkan kami lemah.”

“Jadi apa harapan kamu?” Suara Dato’ Fazhri mulai kendur. Redup matanya mula teduh dinaungi pancaran ketenangan dari wajah tua yang dihantar Tuhan itu.

“Tuan punya kuasa yang dipinjamkan Allah. Justeru, umumkanlah kepada dunia bahawa Islam tetap menuani bumi ini dengan mengakui kami sebagai saudaramu bangsa yang berdaulat. Bersihkanlah kami dari contengan arang musuh yang menghitamkan dengan seribu satu fitnah. Konon kami adalah hasil elemen teroris antarabangsa. Semuanya hanya untuk memudahkan Siam mencengkam kuku besinya dengan bantuan dari luar.”

Ahmad menghela nafas berat sebelum meneruskan diksi. “Kami tidak mahu apa-apa melainkan kedaulatan kerana hanya dengannya Islam dapat diamalkan sepenuhnya. Justeru, sokongan diharapkan. Menyokong musuh bererti menikam saudara sendiri dari belakang.”

Dato’ Fazhri terdiam. Mulutnya terus-terusan terkunci dengan fikiran yang bercapah seribu, sehinggalah susuk tua yang pernah berbakti padanya itu hilang dalam kepekatan malam dengan lafaz suci Assalamualaikum pengiring langkah.

Mencicipi kopi panas di pagi minggu itu, Dato’ Fazhri meneruskan rutinnya membaca berita di internet. Tiba-tiba dia terpempan. Yang Berhormat pejuang Melayu itu benar-benar terkesima.

PATTANI- Seorang ulama besar pengasas Pusat Pengajian Pondok Mukhlisin telah ditembak mati ketika pulang dari menunaikan solat Subuh di Masjid Puteh, dua kilometer dari Bandar Pattani. Sheikh Wan Ahmad Al-Makki merupakan tokoh berpengaruh besar sejak menerajui kepimpinan Jemaah Islamiah Pattani. Beliau dilaporkan syahid setelah sekian lama menjadi buruan tentera Thai. Sejak pagi semalam seluruh wilayah Selatan Thai temasuk Narathiwat dan Yala kelihatan turut berkabung menangisi pemergian pemimpin besar mereka yang telah banyak berjasa menabur bakti di bumi Melayu tersebut kerana dikatakan tiada lagi pengganti yang dapat menggantikan tempatnya.

Dato’ Fazhri tersandar. Sebak memberat di relung nafas. Perenggan seterusnya tidak dapat diteruskan apabila sayu, kesal, pilu dan terkilan bercampur baur menerbitkan satu rasa insaf yang mendalam. Foto kekasih Allah yang tersenyum menerima anugerah syahid ditatap. Senyuman paling indah yang ditemuinya di wajah itu.

Cerpen
Majalah i
November 2008
Oleh :  Adinda Almarjan Yusoff

3 Komen

Filed under cerpen

PERWIRA JABAL PANAU


“ADAPUN selendang hijau yang usang ini terlalu sayang padaku. Sarungkanlah ia tatakala hendak berperang, kuberikan padamu untuk berbuat bakti di jalan Allah.” Kata-kata lembut Tuan Guru Syeikh Muhammad Samman mengalir segar di ingatan. Wajah bersih dan mata jernih itu terus-terusan menusuk api rindu yang tiada taranya.
Sekian lama hidup berguru dan mendalami pelbagai ilmu, sekelian persyaratan sebagai seorang murid dilaluinya dengan tabah yang tepu dan sabar yang padu, sehingga lulus dalam tapisan ujian. Hari ini, Syed Muhammad Umar Solahuddin mula melangkah turun dari Bukit Panau dengan mengusung satu amanat besar yang telah dipundakkan oleh gurunya, penguasa dan penjaga Bukit Panau yang satu ketika dahulu pernah menjadi pusat pemerintahan kesultanan melayu kerajaan Medang Kamulan.
“Telah kuajar segala seni dan agama, rebung yang terlentur dengan adab mulia. Telah sempurnalah pengajian anakanda, seperti mana Hang Tuah sahabat berlima. Justeru, amanah sultan ini, anakandalah yang layak memikulnya.” Ujaran Arwah Tuan Guru sehari sebelum beliau meninggalkan buana ini amat menyentuh hati. Kemangkatan Syeikh Samman adalah akibat racun sondak pari yang dicampur ke dalam air minumannya.
Sebetulnya, amanah ini terlalu besar untuk orang biasa-biasa. Tersangat rumit bagi insan yang kosong dadanya, malah amat menggerunkan bagi mereka yang lebih sayangkan nyawa dari agama.
Atas amanat gurunya, kezaliman yang sedang marak di daerah Legor mesti dipadamkan. Pendekar Malim kian bermaharajalela. Bersandarkan kehandalan dan ilmu hitam berajakan syaitan, manusia yang bertubuh sasa dan memiliki raut wajah menggerunkan itu dengan sewenang-wenangnya melakukan pelbagai kerosakan dan kemungkaran bersama juak-juak dan sekutunya.
Pendekar Malim, satu nama yang pernah mesra di hati Syed. Nama yang banyak mengukir kenangan pahit manis bersama. Namun hari ini, nama itu menjadi sangat asing sekali. Malah sangat pahit lidahnya dan sangat pedih perdu jiwanya untuk menyebut nama itu.
Setelah beberapa hari kaki menapak tanah dengan hati yang tidak lekang melafazkan zikrullah, gerbang Kota Legor yang ditujui sudah sayup kelihatan dari jauh. Kesunyian beberapa buah kampung yang dilewati telah cukup menceritakan ketakutan dan kegusaran penduduk terhadap ancaman kejahatan, tanpa rutin harian yang rancak seperti daerah-daerah lain. Naluri sufi mula memberitahu bahawa kehadirannya tidak dialu-alukan, terasa seperti ada yang memerhatikan gerak gerinya.
Dahi dan baju sudah lencun dek peluh. Matahari sudah hampir membenamkan diri di kaki langit. Syed mula melilau mencari tempat untuk bermalam menyingkir lenguh. Pencariannya tidak menghampakan bila ternampak sebuah surau usang dari kejauhan, “Besar juga surau ini, tentu ramai jemaahnya”.
“Astaghfirullah…” Pemandangan di dalam amat menyedihkan. Lantai bersalut debu tebal dan daun kering yang berselerakan memenuhi ruang. Tanpa berlengah, Syed menyempurnakan tugasnya sebagai mukmin sejati, membersihkan rumah Allah.
Seusai azan Maghrib dikumandangkan, agak lama juga Syed menunggu kalau-kalau ada orang kampung yang datang untuk berjemaah. Sangkaannya meleset. Iqamat dilafaz dan takbir diangkat dengan cukup khusyuk. Tanpa disedari, beberapa orang makmum tiba-tiba menyusul di belakang. Namun selepas salam mereka cepat-cepat berpaling dan terus meninggalkan surau. Syed tidak menghiraukan, sudah dapat meneka penyebabnya. Wirid dan zikir diteruskan seperti kelazimannya setiap kali selesai menunaikan solat.
Sesekali, wajah Tuan Guru Syeikh Muhammad Samman mengisi ruang ingatan. Tarbiah yang diterima mengesankan kecintaan yang maha besar buat arwah gurunya. Kasih sayang, pedoman ilmu dan budi baik yang pernah diterima tiada tolok bandingnya di Tanah Melayu ini.
“Kau carilah kanda seperguruanmu itu, bawalah dia pulang ke pangkal jalan. Aku sudah ampunkan salahnya.” Dalam kesuraman cahaya pelita, Syeikh Samman yang terlantar gering berusaha juga untuk menitipkan pesanan terakhir sebelum pergi bertemu Allah.
Syeikh Muhammad Samman sebetulnya salah seorang ahli rombongan Wali Tujuh. Rombongan yang diketuai seorang ahlul bait anak cucu Rasulullah saw yang bernama Sayyid Hussein Jamadil Kubra ini dianggarkan tiba di Tanah Melayu akhir abad ke-14 Masihi begitu. Syeikh Samman banyak melakukan kegiatan dakwah dan operasinya di sekitar Bukit alias Jabal Panau, sehingga telah melahirkan ramai tokoh-tokoh di bidang kerohanian dan kebatinan seperti Laksamana Hang Tuah dan beberapa orang anggota di dalam kumpulan Wali Songo.
“Hoi! Siapakah yang masih berani datang ke tempat ini? Keluar dan tunjukkan mukamu kepadaku sekarang!” Lamunan Syed terpancung pergi. Satu suara garau berteriak dari luar surau.
Syed tidak mengendahkan pekikan syaitan itu, suara yang amat dikenalinya. Ya zaljalaali wal ikram tidak henti-henti dizikirkan. Derap tapak kaki konco-konco pendekar Malim kedengaran mengelilingi surau. Kawasan itu telah dikepung. Malim mengetap gigi yang berkarat kehitaman, marah kerana pekikannya tidak bersahut. Mahu sahaja diserbu surau itu. Tetapi tiada siapa yang tahu, dalam lubuk hati rupanya ada terselit rasa gerun. “Ini bukan sebarangan orang, cabaran aku tidak diendahnya. Huh, Keparat!” Malim meludah sumpah.
Setelah doa dihantar mengetuk pintu langit, Syed menggapai bungkusan kain yang dibawa, setelah beberapa hari bungkusan itu disimpannya di suatu sudut surau. Sehelai selendang berwarna hijau tua pemberian guru digenggam, dikucup lembut, dipakai kemas dan dimatikan dengan simpulan Lam Alif. Keris melela berlok tujuh yang sentiasa menjadi teman karibnya disisip kemas di pinggang bersetentang dengan pusat. Syed menarik nafas lalu membaca beberapa patah Isim Solabah sebagai penahan jasadnya dari kecederaan. Jiwa raganya diserah bulat-bulat kepada Allah Taala.
“Segala perbuatan hamba adalah kerana Allah Taala, jika hamba mati pada waktu ini, mati hamba kerana Allah Taala.” Falsafah hulubalang melayu yang bersendikan pedoman tasawuf itu adalah pelajaran pertama yang diterimanya ketika mula-mula menjadi murid kepada penjaga Jabal Panau itu.
“Assalamualaikum.” Syed menyerlahkan wajah dari pintu surau. Sebuah senyuman ikhlas dihadiahkan.
“Kau?” Mata Malim terbuntang luas. Syed masih mengumbar senyuman.
“Apa kau sudah menjadi sahaya sultan?” Malim menjeling tajam, masih dalam nada terkejut.
“Hamba hanya sahaya pada Yang Maha Esa.” Tukas Syed dalam tenang. “Habis, siapa yang hantar kau ke sini?” Bentakkan kasar Malim langsung tidak mencalar hatinya. Imannya kukuh seteguh Jabal Panau.
“Sejak bila pula bumi Allah ini tidak boleh didatangi sesiapa?” Syed mengumpan.
Malim mendengus kasar. Dia betul-betul tidak puas hati. Bagaimana sahabat yang pernah dikhianatinya dahulu kini datang mencabar di gelanggangnya sendiri. Layar kenangan membawanya belayar jauh ke masa lampau. Bekas gurunya Syeikh Samman sendiri telah diderhakai lantaran jalan songsang yang dipilihnya kini.
“Hamba menawarkan perdamaian. Sebagaimana Allah menawarkan pintu taubat yang terbuka luas untuk kanda. Kembalilah ke jalan Allah.”
“Ah, bangsat!” Malim menghentak kaki menggegar bumi. Tangan mula bertari dan membuka langkah sayembara. Kuncu-kuncunya diberi amaran agar jangan campur tangan. Sifat angkuh dan riyaknya tidak memerlukan bantuan sesiapa. Sudah sekelian ramai pendekar terbilang tumpas di tangannya. Hulubalang-hulubalang istana yang dihantar untuk menangkapnya pun turut kecundang. Tubuhnya yang tidak lut oleh sebarang jenis senjata itu membuatkan dirinya bertambah bongkak dan jahat.
“ Ayuh maju! Biar kau tahu betapa tingginya langit, lagikan gurumu pun maut di tanganku!” Malim mencabar.
“Tangan manusia hanya melaksanakan kehendak Tuhan” Jiwa Syed dikelar pilu tatkala Malim mendabik angkuh di atas kematian gurunya.
Syed berserenjang tenang di tengah gelanggang sambil meraba-raba hulu jawa demang keris lok tujuh, dipusakai turun temurun dari gurunya, adalah merupakan sebilah keris anugerah dari Paduka Yang Mulia Cik Siti Wan Kembang, pemerintah besar kerajaan Tanah Sri Indah Sekebun Bunga kerana jasa beliau membantu pihak istana menumpaskan ramai petualang negeri.
“Kita memang pernah mandi bersama, menarikan bunga-bunga silat bersama. Tapi jangan fikir kerana itu kau dapat menumpaskan aku. Ha ha ha!” Malim melurut misainya yang bertaring.
“Kanda masih ingat rupanya. Kita memperlimaukan diri di bumi yang sama. Tetapi mengapa cahaya dalam diri kanda sudah padam?”
Ha ha ha! “guruku Tok Buana lebih sakti. Lebih handal bersilat senjata. Tentulah aku memilih dia.”
“Tapi dia bertuhankan syaitan!”
“Ah, tiada siapa yang berhak menghalang aku!” Malim melompat memulakan serangan.
Serangan padu dan bengis itu sedikit pun tidak dapat mencecah tubuh Syed. Ilmu Wasilah Sembilan yang dipelajarinya ketika berguru di Jabal Panau dahulu dipraktikkan sehingga anggota badannya ringan bak sehelai daun, memudahkan pergerakan untuk mengelak dari sebarang jenis serangan. Elak mengelak dan tangkis menangkis berlaku dengan begitu sengit, seperti bertemu buku dengan ruasnya. Debu-debu halus berkecamuk memenuhi ruang pertarungan, batu-batu kecil terpelanting di sana sini. Said terus bertahan tanpa melakukan serangan balas kerana sengaja mengumpan untuk melemahkan tenaga lawan.
Said melompat dan melakukan balik kuang, sebilah golok berhulu gading gajah yang tersisip di belakang Malim berjaya dirampas. Golok yang tajam berkilat itu terus dibaling dan tertancap di batang pokok nibong tunggal. Malim bertambah marah, matanya merah bersinar ganas kerana Golok Gajah Gila kesayangannya itu telah dirampas. Golok yang sudah memakan ratusan nyawa yang tidak berdosa.
“Syeikh Samman menghantar kau untuk membunuh aku, bukan?”
Syed menggeleng. “Tuan Guru memerintahkan aku membunuh kebatilan.”
“Jadi kau mahu menuntut bela?”
“Kenapa kau bunuh Tuan Guru?”
“Kerana dia menganggapku murid derhaka. Kau tahu bukan, betapa lama aku berbakti padanya, sejak sebelum kelahiranmu, tetapi dia tetap memilih kau sebagai pewaris Pusat Keperwiraan dan Kebatinan Jabal Panau.”
“Tapi Tuan Guru murka kerana kau telah merobek amanah yang diberinya. Kau telah membocorkan rahsia kesultanan melayu kepada Siam. Kau membelot, beralih kepada Tok Buana yang memberi kau ruang untuk mencapai cita-citamu.”
“Kau telah menjual akhiratmu demi secebis habuan dunia, Malim. Pencerobohan Siam ke bumi Melayu telah mengukir sejarah paling hitam!”
“Argh!” Malim terus menyerang bertubi-tubi bagai orang tersesat akal. Dengan sepenuh tumpuan, Syed menepis dan menyangga serangan gila amukan puaka. Tidak disangka, si tua lawannya itu begitu gagah perkasa, menyamai kekuatan dua puluh orang lelaki muda lagaknya. Namun tak lama, Malim sudah mulai tercungap-cungap, menandakan kudrat yang dikerah sudah mulai merosot. Rasa marah dan hampa makin menyala kerana ratusan pukulannya tersasar. Umpan Syed mula mengena.
Melihat musuh sudah mulai lemah, Syed mula mengatur serangan. Nafas hulubalang ditarik keras, serentak dengan itu satu pukulan hakikat tepat menghentam dada Malim. Si tua renta terpelanting dan terguling-guling persis diterkam seladang tua naik minyak. Darah hitam pekat tersembur keluar dari mulut. Para pengikutnya ternganga dan saling berpandangan kaku.
Malim menggagahkan diri untuk bangkit, rasa malu membakar wajah dan kalbu apabila tersembam di hadapan anak buah sendiri. Segenap sendi seperti terkunci, bahunya berat bagai memikul tiga guni beras.
Kini langkahnya mulai goyah, mata berpinar-pinar, dadanya amat sakit seperti dicucuk dengan batang paku berkarat geramat, hembusan nafasnya panas seperti wap air menggelegak. Pun begitu dia tidak mudah menyerah kalah. Sudah dasar manusia angkuh, walaupun sudah berkali-kali Syed memujuknya menyerah dan kembali ke pangkal jalan.
“Kau tak akan dapat menghapuskan aku!” Tempik Malim. Tanpa disedari darah halus sudah mulai keluar dari segenap bulu romanya hasil penangan jurus yang dilancarkan oleh Syed. Ternyata ilmu tahan badan Kura-kura Besi miliknya tidak begitu ampuh. Tapi aneh, keyakinan Malim pada ilmu kebal warisan Tok Buana masih utuh.
Tiba-tiba dia terkejut metah, matanya mula berkedip-kedip bila melihat Syed menghunus kerisnya. Jantungnya berlari laju. Ternyata pintu perdamaian telah ditutup.
“Melela lok tujuh Syeikh Samman?” Itulah titik kelemahannya!
Gaya Pendekar melayu ini seolah-olah bermadah :
“Musuh menyerang bakal disambut
Datang berpusu bagai ditusuk
Namun yang menikam bukan tanganku
Tapi gerak takdir sebagai penentu.”
Syed membaca selawat dan isim kursi, air lelangit diusapkan ke mata bilah kerisnya. Melela lok tujuh ini bukan sebarang keris, keris yang ditempa dari tujuh jenis besi “Pa” yang dikutip di tujuh kuala dari tujuh daerah. Besinya diramu dan diisi dengan barakah ayat-ayat Al-Hadid. Telah ditempa dan digodam oleh Empu istana pada tiap-tiap tujuh malam selasa, menghasilkan sebilah keris yang cukup bertuah dan berhikmat.
Langkah Malim terundur-undur, peluh mencurah membasahi dada. Demi mempertahan dirinya dari dihabisi oleh bekas teman seperguruan itu, dia bertekad untuk melancarkan serangan sehabis kudrat. Malim menarik nafas dan meneguhkan kekuda. Urat-urat kasar mula kelihatan di dahi dan lehernya menandakan pertarungan ini belum lagi ke garis penamatnya. Mulutnya terkumat kamit membaca mentera sesat Tok Buana. “Cis! Mati engkau olehku kali ini wahai si celaka!” Serangan jurus Pelakar Api itu mampu melumatkan apa sahaja sasarannya.
Tetapi Ayatullah adalah mukjizat yang tidak terkalah. Tubuh Said telah dibaluti benteng kebatinan 33 ayat dari Al-Quran. Jurus penamat si tua itu terbias pada sebatang pokok tualang yang sebesar dua pemeluk orang dewasa, hancur dan tumbang. Tangan Malim dikilas dengan kucian kilas belakang. Sepantas kilat melela lok tujuh yang berpamor gigi yu itu meluncur mencari sasaran, lantas terbenam ke dada Malim dan menembusi jantungnya.
“Argh!” Darah syaitan hitam pekat memancut dan bergumpal-gumpal keluar dari dada. Dia tersungkur dan menggelupur kesakitan.
Pengikut-pengikutnya mula ketakutan melihat sang ketua tersungkur menyembah bumi. Syed mengemaskan ibu jarinya pada ketandaan tapak gajah di pangkal keris, lalu menyentapnya dari dada Malim yang sudah bertukar bangkai. Kerisnya dijunjung dan dilambai-lambai. Pengikut Malim tidak menunggu lama, masing-masing bertempiaran membuka langkah seribu.
Akan tetapi rupanya kutukan manusia peyembah syaitan itu belum lagi ke noktah akhir. Bulu roma Syed tiba-tiba meremang menandakan ada lagi musibah yang akan dihadapi. Telinganya menangkap bunyi suara dengusan dan deraman yang menggerunkan. Lolongan anjing sahut menyahut dari jauh. Angin menderu keras menerpa gelanggang tempat bangkai Malim terkedang. Dedaun kering dan debu-debu halus berterbangan.
Seekor anjing hitam legam sebesar kerbau jantan muncul di depan Syed dengan taring menyeringai ganas, matanya merah menyala bak bara api ditiup angin, memaku tajam mata Syed. Dia sempat merasa kagum dengan mahkluk ciptaan Allah itu. Pertama kali dilihatnya anjing sebesar kerbau yang mempunyai kaki seperti kaki ayam. Syed bersedia dengan serangan yang tidak diduga. Qutubul Aurad berwakaf Sembilan dibaca perlahan-lahan dengan penuh tawakal kepada Allah, agar tidak menjadi mangsa kepada puaka suruhan manusia penyembah syaitan itu.
Sekonyong-konyong anjing syaitan itu perlahan-lahan mengubah arah, lalu menghampiri bangkai Si Malim, mengonggong ganas sebelum melompat meredah hutan tebal kemudian hilang dalam kepekatan malam. Lolongan anjing yang menyalak bukit itu semakin sayup ditelan gelita malam tanpa purnama.
Perwira Jabal Panau itu menarik nafas lega seraya berkali-kali mengucap syukur ke hadrat Ilahi kerana terselamat dari petaka tipu daya syaitan laknatullah. Tergambar di layar fikirnya wajah tenang arwah Syeikh Muhammad Samman yang tersenyum indah.

Oleh Tok Uban

11 Komen

Filed under cerpen