Monthly Archives: Februari 2019

BICARA HIKMAT : ILMU PEDANG BESAR DAN ILMU PEDANG KECIL

648ba947e01f193d6ab51f4217381231

Ilmu pedang besar adalah satu ilmu yang masih dianggap belum lengkap dan sempurna jika tidak digabungkan dengan Ilmu pedang kecil. Mungkin para pembaca pernah mendengarnya atau sama sekali tidak pernah mendengarnya apatah lagi mempelajarinya. Lautan hikmat ini semakin dalam kita menyelam, maka semakin dalam dan luas dasarnya. Kadang-kadang sesak juga nafasnya. Biasanya ramai guru-guru tua ilmu hikmat ini memiliki ilmu pedang besar, akan tetapi jarang sekali dari kalangan mereka yang memiliki ilmu pedang kecil. Umpama seorang hulubalang atau pendekar melayu, paling kurang ada 2 senjata yang selalu dibawanya bersama. Yaitu sebilah keris panjang yang dipegang pada tangannya dan sebilah lagi keris pendua yang diselit pada bahagian pinggangnya. Kedua dua bilah senjata ini masing-masing mempunyai fungsi rahsianya yang tersendiri. Sebab itu se-seorang hulubalang@pendekar akan dilihat janggal jika hanya mengenakan 1 senjata. Lazimnya mereka akan mengenakan lebih dari 3 jenis senjata apabila masuk kemedan perang.

Berbalik kita kepada tajuk diatas, apakah itu hakikat ilmu pedang besar? nama ini sedikit asing pada kita. Hakikat Ilmu pedang besar ini ialah ilmu selendang merah@ ilmu ayat 4. Rata-rata orang kita hanya mengenalinya dengan nama ilmu selendang merah, selempang merah, ayat 4, ilmu rijalul ghaib, ilmu pisau lipat, ilmu parang terbang, pedang terbang dan lain-lain nama mengikut perguruan masing-masing. Bila kita sudah tahu akan hakikatnya, maka ianya adalah sesuatu yang tidak asing lagi. Kerana masyhur berlaku pengamalannya dikalangan orang-orang melayu. Terutama ganerasi peristiwa 13 mei. Mungkin ada dari kalangan mereka yang masih hidup, yang sengaja memencilkan diri dipelusuk kampung. Carilah kesempatan untuk bertemu dan menadah ilmu dan amalan dari mereka.

Saya tahu diluar sana ramai juga orang yang tidak suka dan tidak pecah liurnya pada ilmu-ilmu seperti ini. Kalau setakat tidak suka itu tidak mengapalah, maka janganlah pula dihambur dengan pelbagai tuduhan, dakwaan dan fitnah yang bukan-bukan. Paling tidak ajarlah diri itu biar pandai menghormati ilmu seni orang lain. Dan didiklah jiwa agar lebih sabar, berhati-hati dan berfikir dahulu sebelum membuat penilaian dan berkata-kata. Kelak kita juga yang hidup aman dan damai tanpa ada perselisihan dan persengketaan.

1434919075866

Apa pula hakikat ilmu pedang kecil? Ilmu pedang kecil hakikatnya ialah isim syatit. Hanya nama sahaja yang membezakannya. Isim syatit ini kita semua sudah maklum bahawa ianya adalah salah satu dari cabangan hikmat senjata fakir. Isim Syatit ini boleh dikira antara versi yang paling kuat dan istimewa untuk tujuan membinasakan kekuatan musuh dari jarak jauh. Dimana serangan terhadap musuh hanya dilakukan secara ghaib. Pelbagai wadah boleh digunakan dalam melaksanakan misi serangan terhadap musuh. Ada orang yang menggunakan batang pisang, jantung pisang, foto, peta kampung, busur & anak panah, pisau, api, paku, jarum, air menggelak, garam dan sebagainya berdasarkan petua ilmunya yang tertentu. Pelaksanaan hikmat ini adalah setelah melalui pelbagai syarat yang sangat ketat dan telah membuat beribu pertimbangan bersandarkan syariat. Bukannya boleh dibuat sesuka hati bersandarkan nafsu. Dimana, jika perlaksanaan hikmat ini dilakukan dengan hanya bersandarkan nafsu dan kezaliman maka hikmat ini akan memakan tuannya sendiri, naauzubillah min zalik.

Secara ringkasnya, ilmu pedang besar biasa digunakan di medan perang sebenar. Bertempur secara fizikal zahir, mengerah sepenuh tenaga dan bersemuka dengan pihak musuh. Adapun ilmu pedang kecil pula digunakan secara batin, yaitu menumbangkan musuh dengan secara ghaib yaitu dengan tanpa bersemuka. Pengamalnya hanya berada didalam rumah sahaja, tiba-tiba musuhnya yang berada di lapangan medan boleh tumbang dengan izin Allah swt. Pendek kata, ilmu pedang kecil ini umpama senjata sulit. Penggunaan senjata ini memang tidak dapat dikesan secara zahir. Akan tetapi janganlah pula kita menyamakannya dengan sihir yang bersandarkan nafsu bertunjangkan iblis.

Pasti ada persoalan yang berlegar-legar di dalam benak fikiran kita. Adakah ilmu ini benar-benar wujud? Atau sekadar cerita rekaan penulis sahaja? Jika benar wujudnya, siapa pula yang memiliki keilmuan ini, dan apakah menjadi seperti yang digembar gemburkan?. Soalan ini amat senang untuk ditanya dan payah untuk di jawab. Mudah kata,  jawapan kepada soalan ini hanya ada pada diri pemilik dan pengamalnya sahaja. Ramai yang memiliki tidak semestinya beramal. Dan ramai yang beramal tidak semestinya Yakin. Dan ramai yang menjadi tidak semestinya selalu mujarab, dan selalu mujarab tidak semestinya seperti kehendak. Allah Taala yang menentukan segalanya.

Ilmu-ilmu sebegini sebenarnya banyak tertulis, terselit, tersorot di halaman kitab para ulama hikmat. Mereka bukannya kedekut ilmu seperti yang didakwa sesetengah orang jahil, Cuma kita sahaja yang lalai dari mencari dan memahaminya. Adakalanya ianya tidak dijelaskan secara nyata kaifiat penggunaannya disebabkan beberapa faktor. Antaranya ialah kerana faktor keselamatan dan pengkhianatan. Sebab itu untuk memahami sesuatu keilmuan kita memerlukan kepada guru. Kerana kunci kepada pintu ilmu itu ada pada seorang guru. Bak kata Tok Uban :

Sudah resmi isim rahsia,

Ilmu langka Seri Petala,

Andhika datang berbudi bichara,

Manira beri barangnya pinta.

Tinggalkan komen

Filed under doa