RSS

Monthly Archives: Julai 2011

10 PERSEDIAAN UNTUK MENYAMBUT KEDATANGAN RAMADHAN


1) Berdoalah agar Allah swt. Memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan dalam keadaan sihat wal afiat. Dengan keadaan sihat, kita dapat melaksanakan ibadah secara maksima di bulan itu, baik puasa, solat, tilawah, dan zikir. Dari Anas bin Malik r.a. berkata, bahwa Rasulullah saw. apabila masuk bulan Rejab selalu berdoa, “Allahuma bariklana fii rajab wa sya’ban, wa balighna ramadan.” Ertinya, ya Allah, berkahilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan. (HR. Ahmad dan Tabrani)

Para salafush-soleh selalu memohon kepada Allah agar diberikan kurnia bulan Ramadhan dan berdoa agar Allah menerima amal mereka. Bila telah masuk awal Ramadhan, mereka berdoa kepada Allah, “Allahu akbar, allahuma ahillahu alaina bil amni wal iman was salamah wal islam wat taufik lima tuhibbuhu wa tardha.” Ertinya, ya Allah, kurniakan kepada kami pada bulan ini keamanan, keimanan, keselamatan, dan keislaman dan berikan kepada kami taufik agar mampu melakukan amalan yang Engkau cintai dan redhai.

2) Bersyukurlah dan pujian kepada Allah atas kurnia Ramadhan yang kembali diberikan kepada kita. Al-Imam Nawawi dalam kitab Adzkar-nya berkata, “Dianjurkan bagi setiap orang yang mendapatkan kebaikan dan diangkat dari dirinya keburukan untuk bersujud kepada Allah sebagai tanda syukur dan memuji Allah dengan pujian yang sesuai dengan keagungannya.” Dan di antara nikmat terbesar yang diberikan Allah kepada seorang hamba adalah ketika dia diberikan kemampuan untuk melakukan ibadah dan ketaatan. Maka, ketika Ramadhan telah tiba dan kita dalam keadaan sihat wal afiat, kita harus bersyukur dengan memuji Allah sebagai bentuk syukur.

3) Bergembiralah dengan kedatangan bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. selalu memberikan kabar gembira kepada para shahabat setiap kali datang bulan Ramadhan, “Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkah. Allah telah mewajibkan kepada kalian untuk berpuasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu syurga dan menutup pintu-pintu neraka.” (HR. Ahmad).

Salafush-soleh sangat memperhatikan bulan Ramadhan. Mereka sangat gembira dengan kedatangannya. Tidak ada kegembiraan yang paling besar selain kedatangan bulan Ramadhan karena bulan itu bulan penuh kebaikan dan turunnya rahmat.

4) Rancanglah agenda kegiatan untuk mendapatkan manfaat sebesar mungkin dari bulan Ramadhan. Ramadhan sangat singkat. Kerana itu, isi setiap detiknya dengan amalan yang berharga, yang dapat membersihkan diri, dan mendekatkan diri kepada Allah.

5) Bertekadlah mengisi waktu-waktu Ramadhan dengan ketaatan. Barangsiapa Jujur kepada Allah, maka Allah akan membantunya dalam melaksanakan agenda-agendanya dan memudahkannya melaksanakan perkara-perkara kebaikan. “Tetapi jikalau mereka benar terhadap Allah, nescaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka.” [Q.S. Muhamad (47): 21]

6) Pelajarilah hukum-hukum semua amalan ibadah di bulan Ramadhan. Wajib bagi setiap mukmin beribadah dengan dilandasi ilmu. Kita wajib mengetahui ilmu dan hukum berpuasa sebelum Ramadhan datang agar puasa kita benar dan diterima oleh Allah. “Tanyakanlah kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui,” begitu kata Allah di Al-Qur’an surah Al-Anbiyaa’ ayat 7.

7) Sambut Ramadhan dengan tekad meninggalkan dosa dan tabiat buruk. Bertaubatlah secara benar dari segala dosa dan kesalahan. Ramadhan adalah bulan taubat. “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung.” [Q.S. An-Nur (24): 31]

8) Siapkan jiwa dan ruhiyah kita dengan bacaan yang mendukung proses tadzkiyatun-nafs. Hadiri majlis ilmu yang membahas tentang keutamaan, hukum, dan hikmah puasa. Sehingga secara mental kita siap untuk melaksanakan ketaatan pada bulan Ramadhan.

9) Siapkan diri untuk berdakwah di bulan Ramadhan dengan membuat catatan kecil untuk kultum tarawih serta ba’da sholat subuh dan zhuhur, memberikan buku saku atau lebaran yang berisi nasihat dan keutamaan puasa.

10) Sambutlah Ramadhan dengan membuka lembaran baru yang bersih. Kepada Allah, dengan taubatan nashuha. Kepada Rasulullah saw., dengan melanjutkan risalah dakwahnya dan menjalankan sunnah-sunnahnya. Kepada orang tua, istri,anak, dan kaum kerabat, dengan mempererat hubungan silaturrahim. Kepada masyarakat, dengan menjadi orang yang paling bermanfaat bagi mereka. Sebab, manusia yang paling baik adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.

Sumber : http://mujahidahsejati.blogdrive.com

 
31 Komen

Posted by di 21 Julai 2011 in tazkirah

 

Label:

SYAIR UNTUK ADINDAKU – madah Tok Uban Sakti


Dengan nama Allah sabda ku tuturkan,
Solawat dan salamku untuk Sayyiduna Al-Mustafa,
Kehadrat adinda yang beta rindukan,
Angeraha Al-Wadud yang amat berharga.

Wahai kasehku yang amat ku kaseh,
Sudi kiranya meluang waktu,
Sedikit tuturku dengar-dengarlah
Terlafaz dipena di suratan terbuku,

Indah parasmu bagaikan permaisuri,
Mulia akhlakmu beta sukai,
Manis senyummu memikat hati,
Dikaulah isteri beta cintai.

Seharian tenang rasanya jiwa,
Serta dengan suka gembira,
Betalah manusia bertuah laba,
Kerana dapat cinta Adinda.

Tiada lafaz dapat dikata,
Tenang dihati penuh serata,
Terima kasih menerima beta,
Sebagai teman hidup adinda.

Ya Allah Tuhan Maha Mengasihi,
Redailah cinta kami ini,
Agar subur dan berseri-seri,
Hingga ke akhir hayat kami.

Alhamdulillah ku tadah tangan,
Dengan hati penuh bersyukur,
Atas nikmat ilmu dan iman,
Atas angeraha ratu Almarjan.

 
3 Komen

Posted by di 21 Julai 2011 in syair

 

Label:

DOA SITI AMINAH, amalan untuk ibu mengandung.

Doa ini selalu di baca oleh Siti Aminah semasa mengandungkan Baginda Rasulullah saw. Bagi ibu-ibu yang sedang hamil, selain membaca surah-surah yang tertentu daripada Al-Quran untuk kandungannya, maka molek benar lah dia membaca doa ini setiap hari sebagai pelindung kepada kandungan. Agar kandungan selamat di dalam jagaan Allah Taala sehingga lahir ke dunia.

Doa ini telah diijazahkan kepada saya oleh Tok Sayyid Padang Kala hafizohullah. Dengan suka hati, saya ijazahkan pula doa ini kepada sesiapa sahaja yang suka dan gemar mengamalkan doa yang amat baik ini. Kata guru saya, doa ini jika sentiasa diwiridkan oleh si ibu, selain selamat anak dalam kandungannya insyaallah juga akan memudahkan proses bersalinnya nanti. Boleh juga di doakan untuk keselamatan anak-anak kita yang berada di kejauhan. maklumlah mereka ini bukannya sentiasa berada di depan mata kita. sebagai ibubapa sudah tentu akan ada rasa khuatir akan keselamatan anak-anak. Inilah doanya di baca 3 kali sambil tangan memegang perut :

ٲﻋﻴﺬﮦ ﺒﺎﻠﻮﺍﺤﺪ ﺍﻠﺼﻤﺪ ﻤﻦ ﺸﺮ ﻜﻞ ﺬﻱ ﺣﺎﺴﺪ

“Uu i’zuhu bilwahidisshomadi min syarri kulli zi hasidin”

ertinya: Aku melindunginya dengan Tuhan yang maha esa yang menjadi tempat tumpuan segala makhluk daripada kejahatan tiap-tiap pendengki.

 
121 Komen

Posted by di 12 Julai 2011 in doa

 

Label:

cerpen : TENGKOLOK MENYEMBAH TANAH


BERITA yang dipaparkan media elektronik seperti biasa akan mengalir deras, membanjirkan khabar di seluruh negara. Berita yang diulas tambah dengan momokan metafora dan visual kadang-kadang boleh menjulang seseorang ke mercu dunia dan adakalanya menjatuhkan ke lembah hina. Masyarakat pula seringkali mendahului Tuhan dalam menjatuhkan hukuman syurga atau neraka.

Dia tersenyum simpul. Hatinya berbunga-bunga melihat wajah sendiri di kaca televisyen. Berasakan dia patut dan layak berada di pentas itu. Dia Yang Berhormat Dato’ Fazhri, orang penting dalam negara. Orang mulia yang banyak berjasa dan terpilih di kalangan umat manusia.

Sebab itulah apabila Halim berlari-lari anak datang mengadu tentang orang tua yang baru dua bulan diambil bekerja itu, dia tidak berapa ambil pusing. Susuk tua itu khabarnya rebah di tepi kolam renang villa agamnya, nyaris tercebur ke dalam air setinggi dua meter itu. Koma.

“Huh, ada-ada saja. Panggil doktor ke mari.” Begitu responnya mudah. Lelaki itu bukan siapa-siapa padanya. Kantanya kembali menerobos skrin tadi. Sebentar lagi berita pelancaran Simposium Ketuanan Melayu akan tersiar. Sekali lagi untuk malam ini raut segaknya akan mendominasi ruang tatap rakyat Malaysia.

“Takkan Melayu hilang di dunia. Kita rumpun Melayu rumpun merdeka. Bumi kita makmur sejahtera kerana kebijaksanaan kita semua!” Kata-katanya termuntah berlahar api.

“Hidup Melayu!” Respon peserta simposium membuat matanya bersinar galak.

“Hidup Dato Fazhri!” Sinar matanya tambah galak.

Ripuh dunianya ripuh. Semua orang tahu perjuangan sucinya, memastikan Melayu di millennium baru terus berdaulat dan terhormat. Misi dan visinya tidak pernah dibantah sesiapa lantaran signifikan ketuanan bangsanya cukup utuh di negara ini.

“Dato’, doktor sudah sampai, Pak Ahmad sedang dirawat.”

Dato’ Fazhri berkalih memandang Halim. Pemandunyalah yang menemui rijal tua itu berteduh menghilang lelah kelana di masjid, membawanya pulang kalau-kalau dapat mengisi jawatan tukang kebun villa agam yang kebetulan kosong.

Seterusnya dia tidak berapa peduli lagi pada lelaki itu. Yang penting halaman villanya terpelihara rapi. Bukan setakat bersih dan kemas yang dia mahu. Tetapi mesti juga menawan. Mahligai dato’ tidak boleh ala kadar sahaja. Mesti gah ala palace. Halamannya tidak boleh seadanya. Mesti saujana terindah menzahirkan keagungan pemiliknya. Biar semua orang tahu siapa dirinya.

Dalam diam dia akui, Ahmad telah melunasi tugas sebagus yang dikehendaki. Selebihnya, dia tidak banyak menyelidik lantaran kepentingannya sudah terpenuhi. Seperti mana hubungannya dengan pekerja-pekerja lain, dia lebih selesa untuk tidak menyusur akar.

Di tengah bukat malam, sambil mengimbas kembali perjuangan politiknya yang panjang, dia terkhayal ke kurun 15. Ya, tentulah dia persis Hang Tuah, pahlawan Melayu yang taat berkhidmat kebanggaan rakyat. Cuma bezanya Hang Tuah mahir bersilat senjata, dia pula hanya menjadi penaung kepada persatuan-persatuan silat kebangsaaan, selain tugasnya melindungi semua warisan, seni, kebudayaan dan identiti lain masyarakat Melayu. Sejak mengisi jawatan utama negara, sudah terlalu banyak usaha dan ikhtiarnya untuk memartabatkan apa sahaja yang bernama Melayu. Dia pencinta bangsa, perindu warisan nenek moyang, juga pembela hak dan keistimewaan yang diwarisi turun temurun.

Sebab itulah dia panas punggung ketika ada pihak yang mengecam DEB, mula menyinga bila ada yang meminggirkan titah sultan dan dia tidak sekali-kali akan berdiam diri apabila majlis adat istiadat diraja tidak dihormati atau dipulaukan. Semua itu mesti diajar! Biar dunia tahu tinggi atau rendahnya langit Melayu.

Dia dan Hang Tuah sama-sama berbakti. Sama-sama wira Melayu yang masing-masing setia. Pantang orang menghina atau mencabar Melayu, dialah orang pertama bangkit menentang. Jebat mana yang tidak disanggahnya. Akulah Hang Tuah moden kesayangan sultan. Begitu gah dirinya di hati sendiri.

Sedang tenggelam dalam ujub diri, tiba-tiba mulutnya dikatup dengan sebelah tangan sasa. Dia yang terkejut metah cuba melawan namun langkahnya nyata sumbang. Bayangan hulubalang Melaka tadi lenyap sekelip mata.

Dengan tangan kaki terikat dan leher disua belati, dia kemengahan.

“Mana dokumen tu?” Nyata musuh politiknya sudah menceroboh ke tahap paling maksimum. Bila-bila masa sahaja dia boleh berpindah ke alam lain.

Bukk! Belum sempat merespon, perutnya menerima tendangan percuma. Pandangan Dato Fazhri berbinar. Dalam cahaya rembulan, matanya dapat menangkap tiga susuk yang menyarung baju dan topeng hitam berserenjang tegap di hadapannya. Kemudian tiga susuk itu tersalin menjadi enam sebelum menjadi tiga kembali.

“A… Ada… Ada di….”

“Assalamualaikum”. Satu suara tenang membuatkan semua mata terkalih ke satu arah.

“Siapa kau mengganggu kerja kami?”

“Bebaskan Tuan saya.”

“Arghhh!” Ketiga-tiga peneceroboh berteriak dan menyerang serentak sebelum sempat Ahmad memasang kekuda. Namun semuanya dapat dielak dengan mudah tanpa sekelumit pun rasa mengah.

Beberapa kali menepis, Ahmad akhirnya membalas serangan. Hanya dengan satu jurus angin, ketiga-tiga penceroboh terpelanting tinggi. Jatuh tidak bergerak.

“Di mana pakcik belajar silat ni?” Mulut Dato’ Fazhri terlopong dengan mata terbuntang.

“Bukankah bangsa Melayu adalah bangsa pahlawan?” Tenang saja suara itu.

Menyindir akukah? Gumamnya dalam hati. Sebetulnya dia yang tersindir sendiri.

“Apapun, terima kasih kerana menyelamatkan saya. Hujung bulan nanti jangan lupa ambil bonus.” Dia mengurut-ngurut lengan, menyisih lenguh yang belum pergi setelah ikatan dilerai.

“Tak apalah Tuan, saya menolong dengan ikhlas. Sudah tiba masanya saya pergi. Saya mohon maaf. Halalkanlah makan dan minum dan terima kasih atas semua budi Tuan.”

“Hah, kenapa perlu pergi?”

“Semakin lama saya di sini, semakin kuat rasa bersalah mencengkam jiwa. Kini perlu pulang kerana tanah air memerlukan saya sekarang. Tadi, anak lelaki saya sudah memaklumkan hal ini.”

Anak lelaki? Siapa dan bila? SMS? Atau di bawah sedar siang tadi?

Dato’ Fazhri mengamati susuk dan raut renta Ahmad. Datang menumpang di bumi orang, hanya menggalas sebungkus pakaian yang diikat dengan kain lepas. Sekarang dia perlu pulang. Semasa pertama kali mengenali Ahmad, dia dimaklumkan pembantu peribadi bahawa lelaki tua itu berdarah Pattani.

“Adakah pakcik turut terlibat dengan gerakan militan Selatan Thai yang menghuru-harakan negara Siam selama ini?” Dato’ Fahzri meluah sangsi. Kedudukan yang dimiliki seringkali membuat dia lupa patah kata yang sepatutnya dipilih.

Ahmad terkesima. Hati tenangnya tersentuh. Ada sembilu halus menusuk pedih. Perlahan wajah dikalih mengadap purnama yang sedang berduka. “Rupanya kami bukan sahaja dipandang hina oleh musuh Islam, tapi juga oleh mereka yang seagama malah sebangsa dengan kami.”

“Apa maksud pakcik?” Terimbas kembali di benaknya terhadap semua liputan yang didengar tentang wilayah bergolak itu. Berita yang dimaklumi seantero dunia, sejauh Washington DC. Masakan dia Dato’ Fahzri tidak tahu menahu?

“Kami bukan pemberontak terhadap kerajaan, tetapi penentang kepada penjajahan. Memang Pattani mempunyai sejarah perang dengan Thailand yang tidak pernah berakhir.”

“Ya aku tahu. Seawal abad ke 17 lagi Siam menceroboh ke geografi suci itu. Lambat laun penaklukan menjadi rasmi pada 1902 dan Perjanjian Bangkok 1909 dengan pihak British mengakhiri segala-galanya. Kedaulatan Thailand ke atas Pattani telah diiktiraf bukan?”

“Yang mengiktiraf itu tidak lain melainkan musuh yang mengatur semuanya untuk melunasi dendam. Barat yang cemburu dengan kejayaan rantau ini menjalankan perniagaan dengan Arab, bimbang kalau-kalau bangsa Melayu, bangsa yang teramai di Kepulauan Nusantara ini menyalin kegemilangan Arab dengan sebab Islam.”

Dato’ Fazhri tergamam. Lelaki tua yang pernah dipandang rendah itu tidak disangka akan menyangkal hujahnya dengan petah sekali. “Bagiku kepelbagaian budaya dan etnik adalah kekuatan, bukan liabiliti”. Suaranya berbaur angkuh dengan ego melangit.

Mata Ahmad tiba-tiba berkaca. Nyilu hatinya nyilu. Air mata bergenang bukan kerana lemah tetapi hatinya tersangat lembut, cukup sensitif bila fikirannya memutarkan kembali tayangan duka umat Islam Pattani. Belum pun sembuh luka Masjid Krisek dan hirisan Tak Bai masih berdarah, belati dan peluru askar Thailand terus-terusan menyentuh jasad kaum muslimin di atas kesalahan yang tidak pernah mereka lakukan.

“Kekuatan itu hanya untuk mereka sedangkan kami diharamkan hak dan identitinya untuk hidup bebas sabagai satu bangsa. Kedaulatan bahasa, sastera, sejarah, kesultanan Melayu bahkan tulisan jawi yang cemerlang sejak beratus tahun dahulu kini menunggu masa untuk padam.”

Muka Yang Berhormat itu berkerut seribu apabila nama Melayu disentuh.

“Kami terpinggir di bumi sendiri, hidup dalam ketakutan. Ke mana saja bergerak perlu bersoal jawab. Apabila keluar rumah, belum tentu pulang dengan selamat.”

“Mungkin cara kamu bertindak tidak betul.” Dato’ Fazhri menembak tanpa arah yang pasti. Wajah tenang Ahmad hanya tersenyum.

“Perjuangan kami tiada bezanya dengan tokoh yang kalian agungkan. Tindakan Dato’ Bahaman, Mat Salleh, Tok Janggut dan Mat Kilau semuanya berasas. Adakah kamu menganggap mereka pengganas radikal?”

“Ya sememangnya Malaysia mengutuk kezaliman terhadap mangsa yang tidak bersalah. Kami turut peka dengan masalah kalian”. Suara Dato’ Fazhri kedengaran memujuk. Sedikit sebanyak dia tetap berasa terpukul.

“Tapi kami cukup jengkel mendengar kenyataan mesra pemimpinmu bersama Samak tempohari, bahawa masalah ini hanyalah sekadar krisis dalam negara. Seolah-olah tiada kaitannya dengan umat Islam sejagat.”

Lidah Dato’ Fazhri tepaku kelu dipahat buntu.

“Air mata kami tiada bezanya dengan air mata rakyat Palestin dan luka kami sama merahnya dengan darah Baghdad. Malah kita ini lebih akrab bersaudara kerana bukan saja seagama tetapi juga sebangsa. Ini adalah penghapusan etnik Melayu!”

Melayu? Ruang fakir Dato’ Fazhri menerobos jauh, melompat-lompat jatuh tidak bertempat. Teringat kembali kembara juangnya demi anak Melayu. Segala slogan bernas, motto bervisi, teks-teks ucapan berapi, serta tulisan beraninya yang cuba mengangkat ketuanan Melayu, Bahasa Melayu, sastera Melayu, orang Melayu, identiti Melayu sehinggalah kepada sejarah Melayu yang berabad ditinggalkan. Bahkan kalimah dato’ yang bertempel dengan namanya itu juga hasil kerja kerasnya membela Melayu.

“Tengkolok raja Melayu telah menyembah tanah!” Kata-kata keramat Ahmad memancung lamunan sekaligus menusup masuk jauh ke dasar hati.

“Angkara Barat, kita adik beradik terpisah”. Ahmad berkias. Dato’ Fazhri masih terpempan. Naluri pejuangnya tersentuh.

“Jadi kamu menyalahkan kesilapan sejarah? Atau cemburu dengan kemajuan Malaysia?” Entah kenapa dia seperti terlalu keras untuk mengalah.

Geleng. “Kami tidak kesal dilahirkan di Pattani. Malah amat bersyukur dan merasa bertuah kerana Islam di sana sangat subur menaungi kehidupan. Ujian ini menjadikan jiwa kami kuat meskipun mata zahir menafsirkan kami lemah.”

“Jadi apa harapan kamu?” Suara Dato’ Fazhri mulai kendur. Redup matanya mula teduh dinaungi pancaran ketenangan dari wajah tua yang dihantar Tuhan itu.

“Tuan punya kuasa yang dipinjamkan Allah. Justeru, umumkanlah kepada dunia bahawa Islam tetap menuani bumi ini dengan mengakui kami sebagai saudaramu bangsa yang berdaulat. Bersihkanlah kami dari contengan arang musuh yang menghitamkan dengan seribu satu fitnah. Konon kami adalah hasil elemen teroris antarabangsa. Semuanya hanya untuk memudahkan Siam mencengkam kuku besinya dengan bantuan dari luar.”

Ahmad menghela nafas berat sebelum meneruskan diksi. “Kami tidak mahu apa-apa melainkan kedaulatan kerana hanya dengannya Islam dapat diamalkan sepenuhnya. Justeru, sokongan diharapkan. Menyokong musuh bererti menikam saudara sendiri dari belakang.”

Dato’ Fazhri terdiam. Mulutnya terus-terusan terkunci dengan fikiran yang bercapah seribu, sehinggalah susuk tua yang pernah berbakti padanya itu hilang dalam kepekatan malam dengan lafaz suci Assalamualaikum pengiring langkah.

Mencicipi kopi panas di pagi minggu itu, Dato’ Fazhri meneruskan rutinnya membaca berita di internet. Tiba-tiba dia terpempan. Yang Berhormat pejuang Melayu itu benar-benar terkesima.

PATTANI- Seorang ulama besar pengasas Pusat Pengajian Pondok Mukhlisin telah ditembak mati ketika pulang dari menunaikan solat Subuh di Masjid Puteh, dua kilometer dari Bandar Pattani. Sheikh Wan Ahmad Al-Makki merupakan tokoh berpengaruh besar sejak menerajui kepimpinan Jemaah Islamiah Pattani. Beliau dilaporkan syahid setelah sekian lama menjadi buruan tentera Thai. Sejak pagi semalam seluruh wilayah Selatan Thai temasuk Narathiwat dan Yala kelihatan turut berkabung menangisi pemergian pemimpin besar mereka yang telah banyak berjasa menabur bakti di bumi Melayu tersebut kerana dikatakan tiada lagi pengganti yang dapat menggantikan tempatnya.

Dato’ Fazhri tersandar. Sebak memberat di relung nafas. Perenggan seterusnya tidak dapat diteruskan apabila sayu, kesal, pilu dan terkilan bercampur baur menerbitkan satu rasa insaf yang mendalam. Foto kekasih Allah yang tersenyum menerima anugerah syahid ditatap. Senyuman paling indah yang ditemuinya di wajah itu.

Cerpen
Majalah i
November 2008
Oleh :  Adinda Almarjan Yusoff

 
3 Komen

Posted by di 8 Julai 2011 in cerpen

 

Label:

PETUA BERAMALAN


Untuk mengamalkan sesuatu ilmu, amat mustahak kita mempelajari dan menerima ijazahnya dari guru. Di zaman ini ilmu-ilmu hikmat banyak tersurat di lembaran kitab-kitab pusaka. Pengarangnya pula sudah lama meninggalkan dunia yang fana ini. Hanya sedikit sahaja ilmu sebegini yang tersimpan di dada guru-guru tua. Sedangkan kita amat minat dan gemar sekali untuk meraih pahala dan fadilat dari amalan tersebut, sayangnya tiada guru yang dapat memberi ijazahnya. Adakah tiada jalan lain untuk kita mengamalkan ilmu-ilmu tersebut?

Jika hati kita suka dan minat untuk melakukan sesuatu amalan yang terdapat di dalam kitab-kitab pusaka para ulama walhal tiada pula guru yang dapat memberi ijazah semua amalan-amalan tersebut. Maka bolehlah kita memilih mana satu amalan yang kita hendak amalkan itu dan mengamalkannya mengikut petua berikut. Mana-mana isim, Ayat, doa-doa khas dan sebagainya bolehlah dijadikan amalan wirid dengan tanpa ijazah dengan syarat :

1- Betul semua bacaan dan sebutannya mengikut hukum tajwid.
2- Betul susunan kalimat dan barisnya .
3- Mengikut kadar jumlah yang telah telah di tetapkan. Kalau 3 kali maka jangan lebih bacaan dari jumlah tersebut.
4- Memuji Allah dan selawat kepada nabi saw sebelum dan selepas melakukan amalan.
5- Mengikut segala syarat yg telah ditentukan.

Pun begitu tidak semua amalan dapat kita amalkan. Seperti contoh amalan yang berkhadam mesti menerimanya dengan berijazah. Kerana amalan tersebut tidak akan menjadi jika tiada ijazahnya.

Walaupun petua-petua di atas dapat digunakan untuk amalan yang tidak berijazah, Ada baiknya lagi kita membuat rujukan dan minta nasihat terlebih dahulu kepada alim ulama yang di ketahui mempunyai kemahiran dalam ilmu hikmat. Kalau dia memberi lampu hijau maka kita jalan. Kalau tidak sebaliknya lah. Mungkin ada sesuatu kebaikkan untuk diri kita yang kita tidak nampak.
Khulasahnya, kalau hendakkan ilmu cari lah guru yang arif yang dapat membimbing dan meminpin kita ke jalan yang benar. Ikhlaskan hati dalam melakukan amalan adalah kerana Allah semata-mata. Kata hukama “ siapa yang tidak ada guru, maka syaitanlah gurunya”. Wallahua’lam.

 
2 Komen

Posted by di 7 Julai 2011 in Maklumat

 

Label:

ANAK PANAH 3 SERANGKAI SIRI 2 (edisi boleh baca tokleh mitok)

jurus maut

Ilmu anak panah 3 serangkai ini mempunyai sedikit keunikan yang mungkin tidak ada pada ilmu spelet atau hikmat-hikmat melayu yang lain. Jikalau ia sudah sebati dalam diri pengamalnya, nanti tangkainya akan tumbuh pula beberapa tangkai yang lain. Jika tangkainya bertambah maka akan jadi pula anak panah itu 4 atau 5 serangkai. Ia terpulang kepada kesungguhan dan kemampuan pengamalnya sendiri. Tapi tidak semua yang dapat 3 tangkai akan dapat 4 atau 5 tangkai.
Ilmu ini hanya digunakan oleh pemiliknya apabila tangan dan kakinya sudah tidak berdaya untuk membela serangan dari musuhnya. Selagi bernyawa dan berkemampuan kita wajib mempertahankan nyawa kita dengan apa cara sekalipun.
Busur kepada anak panah ini tiada lain melainkan mulut dan lidah sahaja. Bilah panahnya adalah jurus nafas yang dihembus melalui mulut. Mata panahnya adalah Ayatullahilazhim. Maka lahirlah dari jurus ini panahan maut yang bersidi sakti. wallahua’lam.

 
1 Komen

Posted by di 6 Julai 2011 in doa

 

Label:

ANAK PANAH 3 SERANGKAI


Pernahkah pembaca sekelian mendengar ilmu anak panah 3 serangkai atau anak panah berangkai? Ia antara ilmu kuno yang masih lagi tersurat di alam melayu. Tersimpan erat di dalam genggaman melayu terpilih. Kalau hendak dibariskan dengan hikmat-hikmat sulit yang lain, ia mungkin termasuk dalam barisan skuad elit Senjata Faqir.

Kenapa ia di panggil 3 serangkai atau berangkai? Soalan ini Pernah saya ajukan kepada salah seorang Guru saya yaitu Tok Sayyid Pedang Silau Hafizohullah. Kata beliau, sebatang anak panah ini kalau dilepaskan, maka ia akan menebak semua sasarannya (maksima 10 orang musuh) yang ada di depan kita. Kalau musuh kita itu 10 orang, maka sepuluh lah yang tumbang dengan izinNYA. Anak panah yang berbentuk ayatullah ini amat merbahaya dan menggerunkan para musuh. Ia dapat digunakan pada masa yang terdesak sahaja. Akan berlakulah pelbagai kerosakan dan kezaliman jika anak panah ini berada di tangan para juhala’ dan sufaha’. Wallahua’lam. siapa ada maklumat bolehlah dikongsikan di sini.tk

 
11 Komen

Posted by di 1 Julai 2011 in doa

 

Label: